Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

PEKAN –  Golongan yang tidak menyokong remaja berusia 18 tahun menjadi pengundi dan tidak mempercayai orang muda dianggap ketinggalan zaman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifudin Abdullah berkata, masyarakat seharusnya meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada orang muda dengan mendidik mereka berpolitik sejak dari awal lagi.

Beliau menganggap pihak yang menentang perkara itu dianggap berfikiran purba dan songsang apabila masyarakat melabelkan anak muda tidak bersedia untuk mengundi pada umur 18 tahun walhal mereka sendiri tidak memberi pendedahan awal kepada mereka.

Saifuddin juga mengakui beliau antara yang kuat mendokong pelaksanaan Undi 18 kerana berpendapat usia itu sebagai umur kematangan dan sudah tertakluk daripada segi undang-undang.

“Kita selalu tidak percaya kepada orang muda tapi nak sokongan orang muda, kalau kita matang dalam politik kita tidak akan berhujah begitu dengan orang muda.

“Sebagai contoh, saya dari dulu lagi mengatakan bahawa kita harus melatih anak-anak memilih pengawas di sekolah mereka sendiri melalui sistem pilihan raya.

“Saya antara yang kuat mendokong kuat undi 18, keputusan mengadakan undi 18 sebulat suara dalam Dewan Rakyat.

“Umur 18 sudah boleh memandu, menandatangani kontrak dan jika dia melakukan jenayah maka tidak lagi dibicarakan mahkmamah juvana,” katanya dalam sidang media selepas perasmian program Malaysia Prihatin anjuran Kementerian Komunikasi multimedia Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas ada pendapat mengatakan remaja berusia 18 tahun tidak sesuai untuk menjadi pengundi kerana belum matang dalam membuat keputusan baru-baru ini.

Apa pun Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berharap agar Undi 18 dapat dilaksanakan pada PRU-15 kelak.

“Saya yakin SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bersedia untuk menguruskan hal ini namun saya harap jangan ada hujah songsang timbul tak perlu undi 18,” katanya. – MalaysiaGazette