Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hari ini hanya satu lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Lokaliti itu melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Kuarters Kakitangan, Kinta, Perak selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku trend penurunan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam, KKM telah melakukan 774 ujian saringan dan secara kumulatifnya 457 kes telah dilaporkan.

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes, manakala kluster adalah terkawal dan semua kes positif serta kontak rapat pula telah diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti ini esok seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, beliau berkata, seramai 369 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar SOP.

Dari jumlah itu, katanya, mereka yang terlibat dengan aktiviti pusat hiburan paling ramai, iaitu 155 orang, manakala gagal menyediakan peralatan merekodkan diri 77 individu.

“Kita telah mengenakan kompaun kepada 330 orang, manakala 37 dikenakan reman dan dua lagi dijamin.

“Seperti biasa, kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran dan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran,” katanya.

Bagi kawalan sempadan negara pula, Ismail Sabri berkata, dalam Operasi Benteng di seluruh negara semalam, pihak berkuasa menangkap 35 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas lima kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 86 bot atau kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

“Operasi Benteng ini melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain yang turut mengadakan 264 sekatan jalan raya (SJR) semalam,” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya, semalam 77 operasi dilakukan meliputi 26 zon merah, enam zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau di seluruh negara.

Operasi sanitasi itu melibatkan 279 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 205 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 51 jentera JBPM.

“Secara kumulatifnya, 18,525 operasi sanitasi merangkumi 148 zon telah dilakukan sejak 30 Mac lalu.

“Operasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast