Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) menyerahkan replika cek kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi penyerahan sumbangan bantuan melalui Program “Ceria Ke Sekolah” tahun 2021 di PPD Padang Terap, Kedah 7 Mac 2021.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan program bantuan kelengkapan persekolahannya, Ceria ke Sekolah (CKS), yang sangat diperlukan pelajar sekolah rendah daripada keluarga B40 menerusi sumbangan kepada 8,650 orang pelajar di Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

Sebahagian besar peruntukan untuk program CKS itu telah diagihkan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mana majlis penyerahan peringkat negeri berlangsung pada 28
Februari lalu di Kota Bharu, Kelantan; Georgetown, Pulau Pinang (3 Mac) dan Padang Terap, Kedah (7 Mac).

Menurut kenyataan TNB, penyerahan sumbangan untuk negeri-negeri lain sedang diaturkan TNB bersama pihak yang berkenaan.

Sumbangan untuk ketiga-tiga negeri tersebut diserahkan Mahdzir menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan kos keseluruhan bernilai RM865,000 atau RM100 setiap pelajar

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM3 juta yang telah diluluskan untuk sumbangan CKS tahun ini.

Sementara itu, Mahdzir berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan tekanan keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan anak-anak mereka ke sekolah, terutama berikutan kesan pandemik COVID-19.

“Sekurang-kurangnya, pelajar-pelajar yang dibantu dapat ke sekolah dengan kelengkapan serba baru untuk sesi persekolahan yang baru bermula bulan ini, tanpa membebankan ibu bapa mereka dan mereka akan lebih gembira untuk ke sekolah.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenal pasti ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai agar bantuan dapat diberikan.

“Kalau keluarga tersebut ada enam orang anak yang bersekolah, sekurang-kurangnya kita boleh bantu seorang atau dua orang
daripada mereka,” tambahnya.

Sejak pelaksanaannya pada 2013, program CKS telah membantu sebanyak 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan berjumlah RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah. – MalaysiaGazette