Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Abd Rahman Bakri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail bergambar beramai-ramai bersama pelajar yang mendapat bantuan selepas Program Jom Ke Sekolah anjuran NAFAS di Pertubuhan Peladang Kawasan Bernam Jaya, Sabak Bernam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 MAC 2021.

SABAK BERNAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya telah menyalurkan bantuan kepada anak-anak peladang di sini hari ini.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Dr Abd Rahman Bakri menegaskan, sumbangan sempena Program Jom Ke Sekolah itu dapat mengurangkan beban ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka ekoran Covid-19.

“Pihak NAFAS telah membelanjakan RM580,000 dan keseluruhan pelajar yang kita sumbangkan adalah 5,800 orang. Kita harap dengan sumbangan ini akan dapat memberikan keceriaan dan motivasi kepada pelajar disamping NAFAS begitu prihatin untuk membantu anak-anak petani, pesawah dan peladang yang termasuk dalam PPK di seluruh negara.

“Ini juga sebagai keprihatinan kita untuk mengurangkan kos dan bebanan ibubapa yang menghadapi masalah kekangan kewangan,” katanya selepas menyempurnakan Program Jom Ke Sekolah anjuran NAFAS di Dewan Sri Peladang, Sabak Bernam, hari ini.

Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tawar, Rizam Ismail.

Sejumlah 400 penerima dari DUN Sungai Tawar dan DUN Sabak terdiri daripada para pelajar sekolah menerima bantuan bernilai RM100 seorang.

Abd Rahman berkata, ia melibatkan peruntukan tahun lepas yang terhenti akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Secara umumnya, sumbangan disalurkan secara berperingkat dan akan disempurnakan oleh wakil-wakil NAFAS di seluruh negara.

“Kita bagi sumbangan dalam bentuk wang tunai tetapi bergantung kepada keperluan penduduk setempat, kalau mereka nak dalam bentuk barangan, kita akan bagi baucer untuk dibeli di kedai-kedai dengan nilai yang sama,” katanya lagi.

Bapa pelajar, Zainal Abidin Ghazali. Foto MOHD ADZLAN, 13 MAC 2021.

Bagi seorang bapa kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara Parit, Perak, Zainal Abidin Ghazali, 53, bantuan itu amat besar makna kepada beliau sekeluarga.

Menurut beliau, dugaan kesan Covid-19 membuatkan nilai RM100  amat besar buat dirinya dalam memastikan keperluan sekolah anaknya dapat dipenuhi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada PPK Bernam Jaya dapat menyumbang wang kepada anak saya, ia dapat mengurangkan beban untuk tanggung perbelanjaan anak-anak sekolah.

“Bagi saya RM100 ini amat bernilai dikala kita menghadapi pandemik Covid-19 jadi sedikit sebanyak dapat menampung beban sekolah anak-anak sekolah.

“Saya rasa lega sebab wang ini dapat membantu sedikit sebanyak,” katanya.

Pelajar, Muhd Haziq Aiman. Foto MOHD ADZLAN, 13 MAC 2021.

Anaknya, Muhd Haziq Aiman Zainal Abidin, 15, berterima kasih dengan NAFAS kerana ia dapat meringankan beban bapanya.

“Saya rasa gembira sebab dapat bantuan dan boleh saya guna untuk beli keperluan sekolah, terima kasih kepada NAFAS sebab beri bantuan kepada saya.

“Bantuan ini nyata meringankan beban ibubapa saya, mereka tidak perlu keluarkan duit lagi untuk saya,” kata Muhd Haziq.

Puteri Balqis Rosle.Foto MOHD ADZLAN, 13 MAC 2021.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Puteri Balqis Roslee, 16, bersyukur kerana menerima sumbangan yang sama dan akan dimanfaatkan untuk membeli keperluan persekolahan.

“Saya gembira sebab dapat bantuan dan boleh memudahkan perbelanjaan ibu bapa ketika pandemik. Sumbangan ini cukup untuk beli keperluan sekolah, sebab semasa pandemik Covid-19 duit susah nak dapat,” katanya.

Malah bagi Roslee Hashim, 54, dari Kampung Nelayan pula berharap agar program itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia nyata dapat menolong ibubapa dalam menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak mereka.

Roslee Hashim,. Foto MOHD ADZLAN, 13 MAC 2021.

Menurut Roslee lagi, sumbangan itu sangat membantu golongan sepertinya tatkala terhimpit dengan sumber kewangan akibat penularan Covid-19.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu kami ibu bapa yang duduk di kampung untuk belanja persekolahan anak-anak. Walaupun pandangan seseorang itu kecil tapi bagi kami ia terasa amat besar dengan keadaan penularan Covid-19.

“Saya sangat bersyukur kerana anak saya terpilih dan mudah-mudahan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette