Adenan (tengah) memeriksa lesen pemandu bas kilang di Relau Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN –  Pekerja kilang di negeri ini berdepan risiko gagal mendapatkan perlindungan insuran sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Ini kerana ada segelintir pengusaha bas menggajikan pemandu tanpa lesen serta gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing.

Perkara itu terbongkar dalam Ops Bas Pekerja yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang di Relau malam tadi.

Adenan (tengah) memeriksa lesen pemandu menerusi Ops Bas Pekerja di Relau malam tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, sikap sesetengah pengusaha bas kilang yang tidak mengambil berat berhubung lesen pemandu serta memperbaharui cukai jalan itu merisikokan pekerja kilang yang menaiki bas mereka.

“Pekerja kilang itu berisiko tinggi di mana mereka tidak akan dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan kerana pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV).

Adenan. 

“Ini merupakan satu perkara yang serius kerana melibatkan nyawa dan kita tidak akan berkompromi dengan pihak pengusaha bas yang sengaja menggajikan pemandu sebegini,” katanya kepada pemberita di lokasi malam tadi.

Justeru, beliau menyeru pengusaha bas kilang agar bertimbang rasa dan  bertanggungjawab dengan menggajikan pemandu yang mempunyai kelayakan yang sah.

Dalam operasi sama, Adenan berkata, sebanyak 311 buah bas kilang diperiksa dan 250 notis pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan pihaknya.

“Daripada notis berkenaan, pihak kami mengeluarkan sebanyak 142 saman dan kebanyakannya membabitkan pemandu tidak memiliki lesen memandu dan PSV.

JPJ Pulau Pinang mengadakan Ops Bas Pekerja bagi mengesan bas kilang yang memandu secara tidak berhemah sekali gus membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Selain itu, kami turut mengesan 111 kesalahan teknikal berkait tayar, cermin gelap, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” ujar Adenan. – MalaysiaGazette