Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

PUTRAJAYA – Tidak sampai beberapa jam menang tanpa bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuat kejutan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat.

Ia menyebabkan berlaku situasi terkilan dan tidak selesa dalam kalangan perwakilan Kongres Tahunan FAM 2021 yang bersidang hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas memikirkan semasak-masaknya untuk melepaskan jawatan yang disandang selama dua tahun itu.

Katanya beliau akan berundur kedudukan nombor satu MFL  dalam masa dua tiga bulan lagi sambil menyifatkan keputusan itu tepat pada masanya dan tidak akan menangguhkannya.

“Sebelum saya berundur secara rasmi nanti akan melakukan sedikit penstrukturan semula pada MFL supaya badan yang mengawal selia liga tempatan itu boleh berdikari dan terus membangun.

“Cukuplah saya pegang jawatan itu selama dua tahun.. biar orang lain yang lebih berkemampuan dan berwibawa membangunkan MFL dan inilah masa tepat untuk saya berundur.

“Saya tak nak tamak dengan dua jawatan iaitu di MFL dan juga FAM… malah saya mahu konsentrasi sepenuhnya dalam FAM tidak mahu 56 peratus fokus di sana dan fokus baki di sini kerana saya juga risau wujud konflik berkepentingan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Kongres Tahunan FAM tersebut di sini hari ini.

Tambah Hamidin, beliau akan melepaskan jawatan dan ia akan dilakukan sebelum atau semasa Kongres Tahunan MFL yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Tunggulah, saya akan lepaskan secara tersusun dan protokol tanpa kekecohan sama ada sebelum atau semasa Kongres MFL dalam sebulan dua ini ataupun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau percaya  MFL  boleh berfungsi berdasarkan segala proses pembangunan yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, masih lagi memerlukan sedikit penstrukturan semula yang perlu dilaksanakan dalam MFL sebagai mengukuhkan barisan jawatankuasanya.

“Saya fikir MFL boleh berfungsi sendiri dan bebas selepas ini dan selepas berundur dari jawatan Presiden MFL akan menyerahkan kepada lembaga pengarahnya untuk memilih presiden baharu yang lebih berwibawa dan berwawasan serta bervisi yang mampu membawa MFL ke arah kegemilangan.

“Saya tahu semua marah saya dengan keputusan mengejut ini namun itulah tindakan manis dan saya tidak mahu dilabel tamak..semasa Tunku Mahkota Johor, saya ambil alih untuk menstabilkannya kini tiba masa saya berundur pula untuk beri ruang kepada individu lebih layak.

“Namun sebagai presiden FAM saya akan terus memberi sokongan kerana MFL masih di bawah satu aliran selain saya tidak akan membenarkan tiga wakil FAM yang menganggotai Lembaga Pengarah FAM jadi Presiden MFL pula.

“Itu saya tidak akan benarkan sama sekali sebaliknya biarlah dia dalam kalangan orang biasa,” katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hamidin kekal Presiden FAM