Lim Guan Eng

IPOH –  Isu wakil rakyat lompat parti yang banyak dilaporkan kebelakangan ini tidak seharusnya berlaku kerana mereka sepatutnya berjuang untuk rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menyamakan proses lompat parti itu seperti menjual beli lembu, Lim berkata, sebagai wakil yang dipilih rakyat, mereka tidak seharusnya dibuai oleh pelbagai tawaran.

“Sebagai seorang wakil rakyat, adalah penting untuk kita dapat menjalankan tugas menyuarakan hak rakyat. Ahli Parlimen dipilih bukan untuk dijual beli seperti lembu, bukan digertak dan diugut. Kita perlu berani berdiri hadapi segala cabaran dan pertahankan hak rakyat. Itu adalah tugas wakil rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak ke-19, di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan, kesemua ahli Parlimen dan wakil rakyat DAP berpegang teguh pada prinsip parti dan tidak akan menggadaikan maruah negara demi wang dan lain-lain.

Antara agenda konvensyen itu yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 perwakilan ialah memilih 15 ahli jawatankuasa negeri. – Bernama