ETS
Tren ETS. FOTO: Syafiq Ambak 22 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pengguna perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan ditawarkan diskaun sebanyak RM10 bagi setiap tiket sempena kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia selama tiga bulan bermula 1 April ini.

Bagi mendapatkan diskaun itu mereka perlu menggunakan kod promo CUTIKERETAPI semasa membuat pembelian secara dalam talian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menurut KTMB, selaras dengan kempen itu, jualan tiket perkhidmatan ETS untuk perjalanan 1 April hingga 30 September ini akan dibuka mulai esok.

“Jualan tiket ini dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal untuk bercuti di dalam negeri, tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia itu merupakan kerjasama antara KTMB dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 24 perkhidmatan ETS disediakan dengan menggunakan jadual waktu sedia ada.

Katanya, para pengguna digalakkan membeli tiket lebih awal bagi mendapatkan kadar tambang yang lebih rendah dan penjimatan berganda.

Menurut kenyataan itu, mereka juga boleh membuat seleksi tempat duduk sekiranya membuat pembelian tiket lebih awal berbanding pembelian pada saat akhir. – MalaysiaGazette