Yonnyboii jadi pilihan filem Walt Disney Animation Studios.

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda, Yonnyboii terus mendapat perhatian mewakili Malaysia melalui runut bunyi filem ‘Raya and the Last Dragon’ yang diterbitkan oleh Walt Disney Animation Studios yang merupakan sebuah syarikat korporasi media dan hiburan ketiga terbesar di dunia selepas Time Warner dan News Corporation.

Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia sudah lama mencari ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakal dalam menulis lirik bahasa Inggeris.

“Akan ada rezeki baru, yang penting kita kena cari dan usaha. Sebelum ni, memang saya selalu mencari-cari ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakat menulis lirik bahasa Inggeris,” luah penyanyi ini yang tidak pernah menjangka imipiannya itu akan termakbul.

Gara-gara terlalu gembira, Yonnyboii berjaya menyiapkan satu rangkap lagu ‘Trust Again’ dalam tempoh 30 minit selepas menerima berita gembira tersebut.

Lagu ‘Trust Again’ pada dasarnya mengisahkan Asia Tenggara yang terbentuk daripada berbilang budaya.

Untuk rekod, filem ‘Raya and the Last Dragon’ merupakan filem pertama Disney yang berinspirasikan budaya Asia Tenggara. Raya merupakan puteri pendekar yang membawa simbolik semangat pelbagai negara Asia Tenggara.

Yonnyboii bekerjasama dengan tiga lagi penyanyi hebat dari Asia Tenggara iaitu Raisa dari Indonesia, Matthaios (Filipina) dan Sprite (Thailand).

Sementara itu, Menurut Universal Music, kerjasama akan dijalinkan di antara Yonnyboii bersama tiga lagi penyanyi lain dari Asia Tenggara iaitu Raisa (Indonesia), Matthaios (Filipina) dan Sprite (Thailand).

Video lirik lagu ‘Trust Again’ dilancarkan pada 12 Mac lalu diikuti video muzik yang menampilkan keempat-empat artis Asia Tenggara pada akhir bulan ini.

Filem ‘Raya and the Last Dragon’ adalah buah tangan pertama berinspirasikan budaya Asia Tenggara menerusi lagu tema ‘Trust Again’.

Ia adalah pertama seumpamanya di rantau ini dan memegang tunggak penting dalam komitmen Disney untuk bekerjasama dengan bakat tempatan dalam membawa kandungan hiburan yang berkualiti kepada penonton di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette