KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) tidak teragak-agak menolak mana-mana calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang mempunyai rekod moral dan integriti yang buruk.
Ketuanya, Hanafi Zulkapli menegaskan, ia bagi mengembalikan kesejahteraan negara dengan memastikan pemimpin dalam kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai kemahiran selayaknya.
“Anak muda menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mempunyai masalah moral seperti minum arak, kaki perempuan, rasuah dan apa sahaja yang mencalarkan integriti sebagai seorang pemimpin.
“Amat memalukan jika masalah sebegini masih lagi mahu menjadi pemimpin Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DPPNS juga menegaskan bagi memperbaiki politik tanah air perlu bermula dengan jati diri pemimpin yang dipilih memenuhi kriteria integriti dan mempunyai moral baik di sisi agama dan perundangan negara.
“Mana-mana individu yang terpalit dengan kes salah laku dan mempunyai masalah moral adalah tidak layak diangkat sebagai pemimpin negara kerana akan memberikan impak negatif pada imej dan urus tadbir yang bakal dikendalikan,” katanya.
Masa depan negara dan anak muda, katanya, tidak boleh diperjudikan dengan lantikan calon kepimpinan yang mempunyai masalah moral dan integriti.
“Sekalipun negara ini mengamalkan konsep demokrasi namun kita terikat dengan Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan memberi signifikan bahawa nilai jati diri sebagai seorang mempunyai keperibadian yang baik.
“Rakyat akan mengikut rentak kehidupan pemimpin mereka. Jika rosak seseorang pemimpin tersebut, maka akan rosaklah rakyat yang berada di bawah tanggungjawab pentadbirannya.
“Beringatlah wahai semua pemimpin! Negara ini bukan milik ahli politik. Negara ini amanah atas kalian untuk urus tadbir demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















