forfeiture suit UMNO MCA Najib Razak 1MDB scandal Court of Appeal appeals Palace of Justice
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, minggu lalu yang membenarkan penganut Krisitian di seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam pendidikan dan buku agama mereka.

FMT melaporkan, notis rayuan telah difailkan pagi tadi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan salinan diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam mewakili Jill Ireland.

Kerajaan sebelum ini diberi 30 hari untuk membuat keputusan berhubung tindakan selanjutnya dalam kes itu.

Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa mengesahkan pemfailan itu kepada FMT.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi , Datuk Nor Bee Abdullah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan juga memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan mereka.

Nor Bee Abdullah membuat ketetapan demikian dalam semakan kehakiman Jill Ireland iaitu wanita Melanau dari Sarawak selepas mendapati notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak sah dan terbatal.

Semakan kehakiman oleh Jill telah berlarutan selama hampir 13 tahun.

Kebenaran itu bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Keputusan tersebut menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk Muafakat Nasional yang meminta kerajaan membuat rayuan. – MalaysiaGazette