Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara ini semakin menunjukkan penurunan apabila sebanyak 1,208 sahaja dicatatkan hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 324,971 kes dengan 15,511 daripadanya aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, sembilan daripadanya membabitkan kes import dengan dua daripadanya adalah rakyat tempatan dan tujuh lagi warga asing.

Jelas beliau, sebanyak 1,199 kes lagi adalah penularan tempatan dengan 920 atau 76.7 peratus terdiri daripada warga negara manakala 279 atau 23.3 peratus warga asing.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 379 kes atau 31.4 peratus dan daripada jumlah ini, sebanyak 333 atau 87.9 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 251 kes atau 20.8 peratus dan Pulau Pinang sebanyak 142 kes atau 11.8 peratus.

“Sebanyak enam kes atau 0.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (lima kes) dan Kluster Telok Mas (satu kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, seramai 155 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 70 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan tiga lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,213 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan yang dilaporkan setakat ini.

“Kes-kes kematian pada hari ini membabitkan masing-masing satu kes di Selangor, Johor dan Sarawak.

“Kes kematian ini membabitkan rakyat tempatan dan warga asing berusia antara 55 hingga 70 tahu dan menghidap pelbagai penyakit kronik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.