Mayat mangsa, Aarif Helmi Saharudin ditemui di lokasi yang dikatakan hilang di sekitar sangkar ikan Kg. Lada, Jerantut jam 3.16 petang tadi.

JERANTUT – Mayat seorang lelaki yang disyaki terjatuh dalam Sungai Pahang di Kampung Lada, di sini lewat malam tadi ditemui pada petang ini.

Mayat Arrif Helmi Saharudin, 26, yang berasal dari Kampung Pedah, Jerantut Feri ditemui berhampiran sangkar ikan tempat beliau terjatuh.

Mangsa dipercayai hilang ketika mengambil barang yang tertinggal di platform sangkar ikan selepas memancing dengan rakannya.

Menurut Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal, dalam kejadian jam 11.30 malam tadi, rakan Ariff menyedari tentang kehilangan mangsa apabila dia tidak muncul setelah menunggu di kereta untuk pulang bersama.

Rakan mangsa hanya menemui selipar Ariff di tepi sungai, ujarnya.

Tambah Mohamad Zulkifli, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 4 pagi dan operasi pencarian dilakukan pada jam 7 pagi tadi.

Jelasnya, operasi pencarian diperluas pada radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Mohamad Zulkifli, operasi penyelaman yang dilakukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) agak mencabar berikutan arus sungai yang deras

“Mayat mangsa ditemui dalam operasi pencarian sebelah petang berhampiran sangkar ikan jam 3.16 petang.

“Di bawah sangkar ada tali jaring lama yang rosak tersangkut di dasar bawah sungai, proses juga berisko kerana arus bawah sungai kuat dan deras,” katanya

Mohamad Zulkifli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang  menggunakan empat bot itu disertai 11 pegawai Bomba Penyelamat Negeri Pahang, 10 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – MalaysiaGazette.