Suasana lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jonker Walk, Melaka. Foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2021.
KUALA LUMPUR – Program Pensijilan Patuh dan Amal SOP Covid-19 akan membantu memulihkan dan merancakkan semula aktiviti pelancongan di negeri Melaka.
Negeri Melaka adalah negeri pertama yang telah diiktiraf dengan persijilan ke arah 100% Patuh dan Amal SOP Covid-19 di premis dan fasiliti pelancongannya.
Program Pensijilan Patuh dan Amal SOP COVID-19 peringkat negeri Melaka ini dijalankan dengan kerjasama antara kerajaan negeri Melaka dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pihaknya telah memulakan program pensijilan ini pada tahun 2020 melalui inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN).
Pada tahun lepas, projek perintis program pensijilan ini telah berjaya mempersijilkan 88 syarikat dan premis pelancongan dengan Sijil Pematuhan Garis Panduan Patuh dan Amal Covid-19.
Tujuan program pensijilan ini untuk memastikan semua premis dan fasiliti pelancongan mengamalkan SOP Covid-19 dengan ketat dan berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan seterusnya meningkatkan keyakinan para pelancong.
“Program ini dibangunkan oleh MPC melalui TPN adalah bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesedaran dan pelaksanaan terhadap pematuhan SOP Covid-19.
”Ia bagi memulakan dan menyambung aktiviti perniagaan dalam suasana normal baharu. Negara sedang melalui proses pemulihan ekonomi dan aktiviti pelancongan mula semakin rancak seiring dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.
”Pematuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan adalah satu-satunya cara untuk mengimbangi kelangsungan aktiviti perniagaan dan penularan pandemik,” katanya ketika menyampaikan pengiktirafan itu kepada Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan  Kebudayaan dan Warisan Melaka.
Abdul Latif berkata, MPC menyambut dengan tangan terbuka kolaborasi bersama kerajaan negeri untuk melaksanakan program pensijilan ini.
Sebagai negeri yang pertama, beliau berharap ini menjadi contoh untuk negeri-negeri lain.
Sementara itu, Uzaidi Udanis, Pengerusi TPN yang menerajui pelaksanaan program berkata, Sijil Pematuhan SOP Covid-19 ini amat bermakna kepada para pemain industri pelancongan kerana kini adanya satu pengiktirafan terhadap usaha gigih syarikat mengamalkan SOP dengan ketat.
Sijil ini boleh dipaparkan di premis perniagaan dan digunakan dalam bahan promosi untuk membina keyakinan para pelancong bahawa produk dan khidmat pelancongan yang disediakan adalah selamat.
Beliau turut menambah, program ini juga telah ditambahbaik daripada program asal tahun lepas untuk memudahkan syarikat pelancongan memohon sijil pematuhan.
Ketika Majlis Pelancaran tersebut, 16 syarikat dan premis pelancongan telah menerima Sijil Pematuhan Patuh dan Amal SOP Covid-19.
Program pensijilan ini terbuka kepada semua kategori produk dan perkhidmatan pelancongan di negeri Melaka. Kerajaan negeri menyasarkan 500 premis pelancongan akan dipersijilkan di mana kos pendaftaran adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam majlis yang sama telah dilancarkan kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 3.0 dan disempurnakan oleh Muhammad Jailani.
Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 3.0 merupakan kesinambungan kepada Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 1.0 dan 2.0 yang dilancarkan pada bulan November 2020 sebagai usaha memulihkan dan merancakkan semula aktiviti pelancongan di Melaka.
Kempen kali ini melibatkan 24 lokasi pelancongan dengan sasaran 6.2 juta pelancong untuk tahun 2021 dan akan berterusan sehingga 31 Disember 2021.
Program Pensijilan Sijil Pematuhan Patuh dan Amal SOP Covid-19 serta Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 3.0 diharapkan dapat menyokong industri pelancongan di negeri Melaka.
Syarikat pelancongan yang berminat boleh membuat permohonan melalui capaian https://tourismmelaka.org/melakaready – MalaysiaGazette