Sahabudin.

GEORGE TOWN – Lapan individu termasuk lima penjawat awam ditahan kerana disyaki bersekongkol melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

MalaysiaGazette difahamkan, mereka yang ditahan terdiri daripada empat pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berpangkat Asisten Superintendan dan inspektor.

Selain mereka, seorang anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Seberang Jaya turut ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya kini sedang menganalisa data siasatan membabitkan empat pegawainya yang terlibat dalam kes melepaskan suspek Macau Scam.

Katanya, pegawai polis yang terlibat terdiri daripada dua berpangkat ASP dan dua inspektor.

“Setakat ini, hanya lapan orang termasuk orang awam ditahan membabitkan kes dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sebelum ini kita sudah serahkan kertas siasatan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) namun diserahkan kembali untuk pihak kami melengkapkan lagi siasatan termasuk mendapatkan pengesahan dari segi teknikal,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sahabudin turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan pegawai polis yang sepatutnya amanah menjalankan tugas dalam pasukan beruniform.

“Saya memang kesal dengan tindakan mereka dan saya juga sudah mencadangkan agar pegawai yang terlibat itu ditukarkan ke jabatan lain.

“Kami masih tunggu jawapan pertukaran daripada pihak Bukit Aman dan mereka ini tidak akan ditempatkan dalam bahagian siasatan operasi,” ujar Sahabudin.

Pada Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan pegawainya terlibat dalam kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

Abdul Hamid memberitahu siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati wujud kesalahan dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Inspektor bersekongkol lepaskan suspek-suspek Macau Scam