Gambar hiasan
PETALING JAYA – Isu saman RM10,000 terus menular dengan orang ramai keliru tentang cara untuk membuat rayuan pengurangan kompaun.

Mengeruhkan keadaan, pejabat kesihatan berlainan juga memberi penjelasan yang tidak serasi sehingga menyebabkan orang ramai bertambah pening.

Walaupun laporan awal menyebut rayuan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah, tetapi pejabat itu berkata mereka tidak diberi kuasa untuk mengendalikan rayuan atau mengurangkan kompaun.

Sinchew Daily yang membuat tinjauan di Pejabat Kesihatan Petaling di Selangor mendapati orang ramai diminta memohon kelulusan daripada polis untuk merentas daerah ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya untuk membuat rayuan.

“Sebarang permohonan rayuan pengurangan tawaran kompaun RM10,000 dan lebih, tuan/puan boleh mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pihak PKD Petaling tiada kuasa untuk mengurangkan tawaran kompaun tersebut. Harap maklum,” kata satu notis.

Tinjauan Sinchew Daily juga mendapati lapan hingga sembilan orang yang menerima kompaun RM10,000 terpaksa berpatah balik selepas dimaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling tidak boleh mengendalikan rayuan mereka.

Selain penerima kompaun RM10,000, terdapat juga penerima saman RM1,000 yang cuba membuat rayuan, tetapi mereka juga diberitahu bahawa kes mereka tidak boleh dikendalikan di kaunter pejabat kesihatan daerah.

Difahamkan, pejabat kesihatan itu tidak menerima arahan daripada kementerian untuk mengendalikan rayuan.

Pada masa yang sama, terdapat juga orang yang ingin membayar saman gagal berbuat demikian kerana kekurangan tunai apabila diminta membayar dalam bentuk tunai.

Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan di Pahang memberitahu, pihaknya tidak tahu sama ada boleh mengendalikan kompaun RM10,000 kerana belum menerima arahan pihak atasan.

Tinjauan oleh Sinchew Daily di Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang pula mendapati orang ramai diberitahu bahawa saman pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) tidak boleh dikurangkan di pejabat kesihatan.

“Mereka yang tidak membayar dan dihadap ke mahkamah boleh mengemukakan rayuan pengurangan semasa berada di mahkamah,” menurut satu notis makluman. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.