Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditahan atas dakwaan mencabul anak kandungnya selama 10 tahun  akan diheret ke mahkamah pada 22 Mac ini.

Sambil menafikan dakwaan bahawa polis lambat bertindak dalam siasatan kes tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek berusia 50 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Katanya, suspek ditahan pada 14 Januari 2021 selepas polis  menerima laporan daripada seorang gadis warganegara tempatan berusia 20 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh bapa kandungnya sendiri berusia 50 tahun yang bergelar Datuk Seri itu.

“Kejadian jenayah cabul ini telah berlaku sejak tahun 2010 (10 tahun yang lalu) sehingga awal tahun 2021 dan pada hari yang sama, kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur.

“Oleh kerana kes ini telah berlaku dalam jangka masa yang panjang, siasatan yang teliti dan menyeluruh telah dijalankan dan mengambil masa untuk dilengkapkan.

“Hasil siasatan telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pandangan dan nasihat sebelum beliau telah memberi arahan kepada pihak polis untuk mengambil beberapa tindakan bagi melengkapkan siasatan yang kemudian pada 25 Februari lalu.

“Kertas siasatan itu dirujuk kali kedua kepada DPP setelah mengambil tindakan yang telah diarahkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan terbaharu kes tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, pada 16 Mac lalu, polis akhirnya menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa suspek di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau merujuk kepada laporan salah satu media yang mengatakan pihak pendakwaan dan penyiasatan mengambil masa yang lama untuk menuduh suspek.

Jelas Saiful Azly, laporan itu tidak tepat dan begitu juga laporan yang mengatakan Ketua Polis Kuala Lumpur telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara sejak 26 Januari 2021 juga tidak betul.

“Kertas Siasatan kes ini perlu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya beberapa kali memandangkan kes ini telah berlaku sejak 10 tahun yang lalu.

“Kertas siasatan yang lengkap hanya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan pada 25 Februari lalu dan laporan media berkenaan mengatakan pihak pendakwaan dan polis mengambil masa dua bulan mendakwa suspek adalah tidak tepat.

“Rentetan arahan dari Timbalan Pendakwa Raya kali ini, pertuduhan ke atas suspek akan dilaksanakan oleh polis pada 22 Mac ini, jam lebih kurang 10 pagi di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan,” katanya.

Malah sejurus selepas pendakwaan suspek, polis akan mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) untuk mangsa dan juga adik-beradik perempuan yang lain bagi mengelak mereka diganggu suspek.

“Sebelum ini, mangsa menolak untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) kerana perintah itu hanya untuk diri mangsa sahaja.

“Sedangkan mangsa mahukan adik-beradik beliau juga dilindungi,” tegasnya.-MalaysiaGazette