PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Polis Daerah Kuala Muda mengesahkan jururawat yang didakwa menerima vaksinasi Covid-19 pada 12 Mac lalu meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.

Mangsa, Samshulrina Mohamad Arshad, 45, dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Bandar Seri Astana di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, laporan punca kematian mangsa disahkan patalogi susulan hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi tadi.

“Kita terima maklmat daripada pegawai perubatan berhubung kematian mangsa pada jam 2.45 pagi semalam.

“Temubual dengan suami wanita itu memaklumkan, isterinya bertugas di wad unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang dan dia menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja pada 12 Mac lalu.

“Mangsa yang  sudah berkhidmat hampir 20 tahun itu mengadu sakit di seluruh badan dan sesak nafas sehingga Selasa lalu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa mempunyai rekod sakit darah tinggi.

Menurut Adzli, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) selepas proses bedah siasat selesai di HBS, Alor Setar,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak tidak membuat rumusan sendiri berhubung kematian seorang jururawat di Sungai Petani, Kedah.

Ia termasuk dakwaan mengaitkan punca kematian wanita berusia 45 tahun itu dengan pengambilan vaksin Covid-19.

“Biar siasatan dibuat untuk tentukan sama ada kematian berkenaan ada kaitan dengan vaksin atau tidak.

“Tak boleh buat laporan tergempar meninggal dunia sebab vaksin mungkin tiada kaitan langsung,” katanya. – MalaysiaGazette