Pekerja melakukan kerja-kerja penghasilan sarung tangan di sebuah kilang yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan satu inisiatif yang komprehensif dalam mengimbangi kelangsungan operasi sektor perkilangan dengan pengawalan penularan pandemik di kalangan pekerja yang dinamakan Safe@Work.

Safe@Work adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat di sektor perkilangan yang merangkumi tanggungjawab majikan menyediakan penginapan pekerja yang selamat serta mematuhi piawaian di bawah Akta Standard Minimum Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446), pengurusan kes-kes pekerja positif dan kontak rapat, saringan kesihatan serta langkah-langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif ini berupaya mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19 di premis perniagaan.

Safe@Work dirangka berdasarkan kepada sesi libat urus dan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan sektor awam dan swasta yang merangkumi Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), persatuan-persatuan industri serta dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Berdasarkan amalan semasa, pekerja kontak rapat wajib dikuarantin dan tidak dibenarkan bekerja sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan bebas Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan.

Kini, inisiatif Safe@Work akan membolehkan pekerja-pekerja kontak rapat untuk terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe Work Bubble.

Pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan.

Beberapa aspek utama yang diberikan penekanan di bawah “Safe Work Bubble” adalah seperti berikut:
i. Pewujudan Safe Work Bubble bagi pekerja kontak rapat di kawasan kilang dan premis penginapan pekerja;
ii. Penubuhan Pasukan Persediaan dan Tindakbalas Kecemasan COVID-19 (PERT) oleh pihak syarikat bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan;
iii. Proses sanitasi berterusan di premis perkilangan;
iv. Kebenaran penggunaan kenderaan pekerja dengan kapasiti penuh;
v. Penyediaan dan pengurusan penginapan pekerja yang kondusif;
vi. Pelaksanaan saringan bersasar untuk pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan; dan
vii. Penyediaan saluran maklumat berkaitan tatacara kawalan pandemik daripada majikan kepada pekerja.

Sebagai galakan kepada syarikat-syarikat yang melaksanakan Safe@Work, kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat di bawah sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan ke atas perbelanjaan sewaan premis asrama pekerja dan penyediaan kelengkapan berkaitan seperti CCTV, wearable tracking devices dan keperluan-keperluan asas lain selaras dengan SOP Safe@Work.

Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat.

Menurut beliau, syarikat boleh membuat pendaftaran di COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) mulai 1 April 2021.

MITI berharap dengan adanya Safe@Work ini, syarikat-syarikat di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan akan mempertingkatkan tahap pematuhan SOP masing-masing bagi memastikan syarikat dapat terus beroperasi seperti biasa.

Ini adalah selari dengan Whole-Of-Society Approach untuk memupuk sikap self-reliance dan semangat kebertanggungjawaban dalam masyarakat.

Dalam konteks ini, ujar beliau, peranan dan tanggungjawab industri lebih mendesak untuk bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan mengimbangi tuntutan melindungi keselamatan dan nyawa dengan kelangsungan ekonomi. – MalaysiaGazette