MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan jumlah projek sakit seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara dapat dikurangkan kepada bawah tiga peratus menjelang November ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, sasaran itu ditetapkan susulan perkembangan positif apabila kadar projek sakit kini menurun kepada 4.13 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.
Beliau berkata, daripada 871 projek yang sedang dalam pembinaan dengan nilai keseluruhan RM50.6 bilion, sebanyak 36 projek kini dikategorikan sebagai projek sakit.
“Perkembangan ini sangat baik kerana pada Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Dua di Perak beberapa bulan lalu, kadar projek sakit adalah lima peratus.
“Bagaimanapun, pada mesyuarat kali ini di Melaka, jumlah itu turun kepada 36 projek atau 4.13 peratus daripada keseluruhan 871 projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Tiga 2026 di Seri Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ibrahim Esa dan Pengarah JKR Melaka, Mohamad Salzeli Moktar.
Ahmad telah mengarahkan supaya sasaran baharu berkenaan dibentangkan pada mesyuarat pemantauan seterusnya di Sarawak pada November depan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan usaha menangani projek sakit dilakukan secara berterusan sehingga mencapai sasaran sifar.
“KKR menetapkan sasaran sifar projek sakit pada tahun ini namun, kita berdepan beberapa halangan tertentu termasuk isu pengambilan balik tanah dan masalah berkaitan kontraktor.
“Kita bukan sekadar melihat angka keseluruhan tetapi setiap daripada 36 projek ini diteliti satu persatu untuk mengenal pasti punca kelewatan serta tindakan penyelesaian yang sesuai,” katanya.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek ialah isu berkaitan kontraktor, yang merangkumi 81 peratus, termasuk kelemahan pengurusan projek, masalah aliran kewangan serta kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak.
“Baki 19 peratus pula melibatkan isu pengambilan tanah dan bayaran pampasan kelulusan serta kelewatan pengalihan utiliti seperti bekalan air, elektrik, pembetungan dan telekomunikasi, selain faktor cuaca serta bencana alam,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, daripada keseluruhan projek yang sedang dalam pembinaan, 259 projek atau 29.4 peratus kini mendahului jadual, manakala 304 projek atau 35 peratus lagi dijangka dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata, penurunan kadar projek sakit itu menunjukkan langkah pemantauan dan tindakan susulan yang dilaksanakan kementerian mula memberikan hasil. – MalaysiaGazette
















