Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani terbuka untuk menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau mengambil komponen tertentu daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) namun tidak akan mengembalikan GST dalam bentuk asalnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahbaikan sistem percukaian perlu memastikan golongan miskin tidak dikenakan cukai tambahan.

“Kita boleh buat beberapa penyesuaian atau menambah baik pelaksanaan SST, atau mengambil beberapa komponen GST tetapi prinsip asas Kerajaan MADANI adalah tidak mengenakan cukai kepada golongan yang sangat miskin.

“Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tiktok Summit Malaysia 2026 hari ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan khusus berkaitan pembayaran elektronik namun ia perlu selaras dengan prinsip percukaian kerajaan.

“Saya tidak bersedia mempertimbangkan asas GST kerana ia kekal sebagai cukai meluas yang dikenakan kepada setiap rakyat termasuk golongan paling miskin,” katanya.

Beliau berkata, prinsip melindungi golongan berpendapatan rendah daripada beban cukai tambahan perlu terus dipertahankan.

Katanya, kerajaan akan terus meneliti kaedah menambah baik sistem percukaian negara tanpa menjejaskan kebajikan golongan berpendapatan rendah.

Selasa lalu, Anwar berkata, kerajaan terbuka melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan SST dengan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.

Beliau turut menambah, kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian ketika ini, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here