KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengangkut 17 motosikal dan menunda sebuah kenderaan dalam operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan yang menghalang laluan awam, termasuk laluan pejalan kaki dan laluan orang kurang upaya (OKU).
Tindakan itu dijalankan Pasukan Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan menerusi Tindakan Khas Lalulintas Angkut Siri 11/2026 di sekitar Jalan Yap Kwan Seng dan Bukit Bintang, semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan susulan maklum balas awam mengenai kenderaan termasuk motosikal dan kereta persendirian yang diletakkan di tempat tidak dibenarkan serta menghalang laluan pejalan kaki dan kemudahan awam.
“Sejumlah 17 motosikal telah diangkut dan sebuah kenderaan ditunda ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL, Jalan Pahang untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Selain itu, DBKL mengeluarkan 24 notis kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan.
Kesemua tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, DBKL mengingatkan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan papan tanda larangan parkir yang ditetapkan serta memastikan kenderaan tidak menghalang pergerakan pejalan kaki atau menjejaskan kelancaran lalu lintas.
Orang awam juga boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas kepada DBKL melalui saluran yang disediakan. – MalaysiaGazette
















