Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan sindiket yang memproses dan membungkus semula sarung tangan terpakai untuk dijual di pasaran terbuka berikutan permintaan tinggi diterima untuk barangan tersebut kerana penularan Covid-19 seluruh dunia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 98 kes telah dilapor dan disiasat oleh pihaknya yang melibatkan kerugian sebanyak RM120,799,941.

“Pemantauan dan risikan secara berterusan oleh pihak JSJK telah berjaya mengesan beberapa individu serta syarikat yang terlibat di dalam kes penipuan penjualan sarung tangan di dalam negara.

“Sehubungan itu, pada 15 Mac lalu JSJK telah melancarkan beberapa siri operasi yang berasingan di sekitar Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur bagi mengesan serta menangkap dalang yang disyaki terlibat disebalik ke penipuan penjualan pelitup muka serta sarung tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil daripada operasi itu, polis menangkap 10 individu yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita, seorang wanita warga Mongolia kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan penjualan sarung tangan.

Menurut Zainuddin, suspek disiasat kerana melakukan penipuan di bawah Seskyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan di bawah siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 12 buah telefon bimbit, 14 keping kad ATM, satu unit tablet microsoft, dua buah buku cek, lapan set pelbagai dokumen, tiga buah kenderaan, satu dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan wang tunai berjumlah RM6,106.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati ahli sindiket akan menarik minat pembeli untuk membeli sarung tangan pada harga yang murah.

“Sindiket akan memperdaya mangsa dengan menggunakan nama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka di Malaysia bagi menarik minat syarikat pembeli dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Zainuddin berkata, sindiket akan memberikan pelbagai alasan sehingga syarikat pembeli perlu melakukan pembayaran keseluruhan bernilai jutaan ringgit sebelum gagal dihubungi dan menghilangkan diri. – MalaysiaGazette