Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhdap orang awam di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kes sembuh harian Covid-19 mengatasi kes baharu harian virus itu pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,576 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 1,213 kes semalam.

“Kes penularan tempatan adalah 1,565 dengan 867 kes warganegara dan 698 bukan warganegara.

“Sebelas kes import Covid-19 di mana lapan kes warganegara dan tiga lagi bukan warganegara,” kata Dr. Noor Hisham menerusi akaun Twitternya.

Kes sembuh hari ini meningkat kepada 1,996 kes berbanding 1,503 kes semalam.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya sebanyak 314,457 kes.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 14,360 kes aktif direkod yang mana 151 individu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Daripada jumlah semasa positif Covid-19 hari ini, dua kematian direkodkan berlaku dengan kedua-duanya melibatkan warganegara. – MalaysiaGazette