Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri perbicaraan kes berhubung pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi bukan bermotifkan politik dan untuk menjatuhkan reputasi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata, cadangan pegawai penyiasat SPRM kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Ahmad Zahid atas kesemua pertuduhan itu adalah berdasarkan keterangan saksi dan dokumen.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada hari ke-53 perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Raja Rozela: Adakah siasatan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid bermotifkan politik dan dibuat untuk menjatuhkan reputasinya?

Khairudin: Tidak sama sekali.

Terdahulu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt mengenai jumlah sumbangan Ahmad Zahid kepada Yayasan Akalbudi, saksi pendakwaan ke-99 itu menjawab: “Dalam siasatan saya, Ahmad Zahid tidak pernah memberitahu berapa jumlah sebenar sumbangannya kepada yayasan berkenaan.

“Ahmad Zahid juga tidak pernah mengemukakan apa-apa bukti dokumen mengenai sumbangan tersebut,” kata saksi itu.

Semalam, Khairudin memberitahu mahkamah bahawa ketika beliau mengambil keterangan Ahmad Zahid, tertuduh itu memaklumkan sumbangan Yayasan Akalbudi adalah berpunca daripadanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan Lee bahawa terdapat  transaksi keluar masuk wang Yayasan Akalbudi berjumlah RM100 juta antara 1997 dan 2018.

Lee: Sekiranya sumbangan dibuat oleh Datuk Seri (Ahmad Zahid). Berapa purata setahun yang perlu disumbangkan?

Khairudin: Setahun RM5 juta untuk melengkapkan sumbangan RM100 juta.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, saksi tersebut tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kesemua 47 pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid bermotifkan politik dan kedudukannya sebagai Presiden UMNO.

Ditanya peguam itu lagi, sama ada sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan SPRM saksi tersebut pernah melihat atau membaca mengenai ahli politik dituduh atas 47 pertuduhan selepas kerajaan bertukar, Khairudin menjawab: “Tiada. Ini pertama kali.”

Pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini setelah 99 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan selama 53 hari di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 dan 2 Julai untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid  daripada 47 pertuduhan itu atau memerintahkannya membela diri. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast