SINGAPURA – Harga minyak jatuh dalam dagangan hari ini, kejatuhan untuk hari keenam berturut-turut.

Ia turun hampir 9% untuk minggu ini, ketika gelombang baharu jangkitan Covid-19 khususnya di seluruh Eropah mendorong sekatan pergerakan dan menjejaskan harapan untuk pemulihan segera dalam permintaan bahan bakar.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) turun AS$0.04 atau 0.07%, kepada AS$59.96 setong pada 0552 GMT.

Minyak mentah Brent turun AS$0.10 sen atau 0.16%, kepada AS$ 63.18 setong.

Harga minyak telah meningkat dalam dagangan pagi Asia setelah penurunan 7% pada hari Khamis ketika pembeli fizikal mengambil kesempatan mendapatkan minyak murah, kata Jeffrey Halley, Penganalisis Pasaran Kanan di OANDA dalam nota penyelidikannya.

Tetapi pasaran terus bimbang dengan prospek permintaan bahan bakar di tengah-tengah meningkatnya kes koronavirus, sekatan baharu dan program vaksinasi yang lambat di beberapa negara, kata penganalisis. – MalaysiaGazette