Pejabat Kedutaan Malaysia di Pyongyang (Gambar Google)

KUALA LUMPUR – Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa,” kata kementerian dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Wisma Putra berkata kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.

Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Korea Utara putus hubungan diplomatik dengan Malaysia