KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh mendaftar untuk menerima vaksin bagi orang tanggungan melalui aplikasi MySejahtera mulai hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook memaklumkan tanggungan itu meliputi bapa, ibu, anak (18 dan ke atas) saudara, penjaga atau pembantu di rumah (warga Malaysia).
“Pendaftaran untuk menerima vaksin bagi orang tanggungan melalui aplikasi MySejahtera dibuka bermula hari ini, 19 Mac 2021. Sila kemaskini MySejahtera,” katanya.
Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan salah satu daripada lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu dengan fasa pertama untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa kedua pula membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa ketiga untuk penduduk berumur 18 tahun ke atas. – MalaysiaGazette