Individu dipercayai kakitangan Kedutaan Korea Utara berjalan keluar dari premis kedutaan yang terletak di Damansara, Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Damansara di sini masih lagi menjadi tumpuan pengamal media dari dalam dan luar negara.

Sejak dari pukul 7 pagi tadi, pengamal media daripada pelbagai agensi melaporkam perkembangan terkini berkenaan situasi yang berlaku.

Bukan sahaja wartawan dan jurugambar malah terdapat orang awam yang turut sama menunggu selepas mereka mengetahui maklumat daripada siaran media berhubung keadaan yang berlaku di sini.

Sehingga pukul 6 petang tidak ada mana-mana pihak pun yang tampil memberikan sebarang reaksi terhadap status kepulangan pegawai dan kakitangan kedutaan berkenaan mahupun informasi daripada pihak berkuasa.

Media hanya dimaklumkan bahawa ke semua pegawai dan kakitangan di kedutaan itu akan berlepas pulang ke Pyongyang pada petang esok.

Kakitangan keluar masuk di Kedutaan Korea Utara dipercayai membuat persiapan sebelum meninggalkan Malaysia. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

Mereka akan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan transit di Beijing, China sebelum meneruskan perjalanan ke negara mereka.

Tidak dapat dipastikan jadual waktu penerbangan mereka.

Berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh, mereka hanya akan ke KLIA selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette selama sembilan jam di lokasi, kelibat individu dipercayai pegawai dan kakitangan kedutaan itu kelihatan di luar bangunan sambil memunggah barang masuk ke dalam kenderaan.

Kakitangan-kakitangan itu tidak menghiraukan gerak geri mereka sedang dirakamkan jurukamera.

Terdapat juga individu yang keluar dari bangunan kedutaan sambil menarik bagasi beroda, namun apabila didekati mereka pantas berjalan dan mengelak daripada ditemubual pihak media.

Pemandangan di luar perkarangan Kedutaan Korea Utara. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

Terdahulu, kira-kira pukul 10 pagi tadi, kawasan di hadapan bangunan kedutaan tersebut dikawal sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan beberapa anggota tentera.

Selang beberapa minit selepas itu, kelihatan petugas kesihatan dari Sunway Medical Centre tiba, dipercayai mahu melakukan ujian saringan ke atas semua kakitangan kedutaan sebelum mereka pulang ke negara mereka.

Hujan lebat berserta kilat selama sejam yang bermula pukul 3 petang tidak melemahkan semangat petugas media untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini apa yang berlaku di sini.

Semalam Kerajaan Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara ini bermula Jumaat.

Ia susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran keputusan mahkamah mengarahkan seorang lelaki warga Korea Utara yang terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram diekstradisikan ke Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang disifatkan sebagai tidak menghormati negara lain. – MalaysiaGazette