Gambar Najib Razak yang tidak daftar masuk MySejahtera ketika memasuki Kedai Nasi Ayam Chee Meng tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan tular video yang menunjukkan beliau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memasuki  Restoran Nasi Ayam Hainam Chee Meng, di Jalan Bukit Bintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18,
Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Menurutnya, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.

Mohamad Zainal menasihati orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kegagalan mematuhi Perintah ini akan mengakibatkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

Semalam tular di media sosial yang menunjukkan Najib melanggar SOP PKPB iaitu tidak menjalankan imbasan suhu badan dan ‘check in’ MySejahtera apabila hendak memasuki restoran tersebut.

Najib menerusi hantaran di Facebooknya semalam mengakui kesalahan yang dilakukannya.

”Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian. Kebiasaannya, saya mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan dalam aktiviti atau pergerakan saya. Tidak mengapa.

”Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini. Kompaun untuk tidak scan MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri PN,” katanya yang akan membayar denda itu kerana tiada istilah ‘double standards’ buatnya. – MalaysiaGazette