Anggota penguatkuasa JPJ dan DBKL menyita kenderaan awam dan perdagangan yang menyebabkan halangan lalu lintas, kekotoran dan kerosakan jalan di Operasi belang siri 2 DBKL di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan ke atas 470 buah kenderaan awam dan perdagangan yang melakukan kesalahan lalu lintas, pencemaran serta merosakkan jalan sepanjang lima hari Operasi Belang (Op Belang) dijalankan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Anwar Mohd. Zain berkata, dalam operasi yang bermula sejak Selasa lalu, sebanyak 418 saman dikeluarkan dengan 13 lagi merupakan notis pemberitahuan.

Menurut Anwar, 26 buah kenderaan yang menghalang lalu lintas dan tersadai di bahu jalan telah disita sementara 13 buah motosikal yang diparkir atas siar kaki turut dirampas.

Anwar Mohd Zain

“Objektif Op Belang ini adalah untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan awam dan perdagangan yang menyebabkan halangan lalu lintas, kekotoran, pencemaran, kerosakan jalan serta melanggar isyarat lalu lintas.

“Jika sebelum ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan, kita lebih tertumpu kepada keadaan di dalam pasar borong namun kini operasi diperluas sehingga ke kawasan sekitar pusat bandar utara.

“Ini kerana kita bukan sahaja mahu pasar borong ini berada dalam keadaan bersih tetapi kawasan di luar  juga perlu bebas daripada sebarang halangan dan tidak mengganggu lalu lintas,” katanya ketika sidang media Op Belang Siri 2/2021 di Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Anwar, 470 kes yang diambil tindakan membabitkan 6 buah jentera angkat, kontena (11), motosikal (151), kereta (147) dan lori (156).

Katanya, tindakan diambil mengikut Kaedah 16(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 79 (2) APJ 1987 dan Seksyen LN170/59 APJ 1987.

“Operasi ini dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan dengan membabitkan serama 70 pegawai dan anggota.

“Op Belang ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan mungkin selepas ini ditumpukan di lokasi lain sekitar ibu negara,” ujarnya. – Malaysia Gazette