Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan khas berjumlah RM260 juta yang akan disalurkan secara langsung kepada semua kerajaan negeri, selaras dengan pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bantuan ini akan diagihkan secara sama rata, iaitu RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan segera projek-projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.

Projek-projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ini termasuklah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam, serta penyelenggaraan premis perniagaan bagi
memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

Katanya, demi keprihatinan kerajaan kepada seluruh rakyat, kerajaan telah menambah peruntukan bagi projek berskala kecil pada tahun 2021 melalui Pemerkasa bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat negeri dan akar umbi. – MalaysiaGazette