Douglas Uggah Embas

KUCHING – Individu yang mahu memasuki Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak lagi perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan ke negeri itu, berkuat kuasa Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai situasi semasa Covid-19 di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang kini dilihat terkawal.

“Bagaimanapun individu berkenaan masih perlu mengisi maklumat melalui ‘EnterSarawak’ secara dalam talian (https://entersarawak.socoe.co/register) dengan memuat naik dokumen sokongan diperlukan. Arahan kuarantin selama 14 hari di Sarawak masih lagi berkuat kuasa,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19.

Mengenai situasi Covid-19 di Sarawak, Uggah berkata terdapat 154 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 13,974 kes. – MalaysiaGazette