KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa mendedahkan sekurang-kurangnya tujuh alasan yang dirasakan menjadi punca kenapa UMNO kini dilihat berubah dan membelakangkan suara akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh mendapat jawapan itu selepas tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan kepimpinan parti sekarang.
Kata beliau, satu ketika dahulu, sewaktu UMNO rebah pada tahun 2018, parti itu berjuang dengan pemikiran jitu, tajam dan satu, malah mereka kembali kuat.
“Sebagai pemain yang berada di tengah-tengah gelanggang, saya kadang kala tertanya-tanya apa yang tidak kena masa ini, kenapa dan sejak bila.
“Antara jawapan yang saya perolehi ialah, pertamanya, bermula apabila UMNO kembali menjadi kerajaan, ada yang teramat kecewa mereka tidak terpilih menyertai Kabinet dan mereka memulakan rentak yang berbeza.
“Keduanya, apabila anak buah berada dalam kerajaan, tetapi big bosses di luar kerajaan, (maka) wujud dua kluster, ketiga, sejak kes-kes mahkamah tidak memihak kepada yang didakwa dan dirasakan kerajaan tidak membantu.
“Keempat, sejak pertemuan sulit pada Ogos/September sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah) di mana muafakat secara senyap percubaan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sumpah setia kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada 11 Oktober 2020 sekali gus keputusan parti “No Anwar, No DAP” cuba di belakangi,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan, jawapan kelima ialah, sejak pertemuan sulit pada 17 Oktober 2020 di sebuah rumah sekitar Ampang yang melibatkan pimpinan parti dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) disusuli beberapa perbincangan lain bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau juga merasakan, selepas setelah percubaan menukar kerajaan PN melalui “menarik tikar di bawah kaki” yang gagal dan membawa kepada era Proklamasi Darurat Pandemik.
“Terakhir sekali, satu gerakan dilancarkan dengan meminta UMNO bahagian membuat usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 iaitu sebagai strategi menjayakan jajaran baru dan PAU 2020 dirancang untuk menjadi medan membatalkan jajaran asal yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi berkali-kali.
“Akibatnya, berlakulah pertembungan dua aliran pemikiran di kalangan pemimpin dan Bahagian-Bahagian jajaran baharu yang condong kepada kerjasama dengan PH, melawan jajaran asal yang condong kepada kerjasama dengan PN,” katanya. – MalaysiaGazette
Ko ni tak habis2 lah menyerang UMNO..ko ni mmg musibat betul…ahli2 UMNO mmg meluat dgn perangai ko ni..dah mcm gila talak plak..ko bkn SUA UMNO..jgn nak menyibuk laaa..