KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Keningau, Sabah mulai jam 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, Keningau diletakkan bawah PKP berikutan kes positif Covid-19 harian di daerah itu tinggi.
Kata beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 42 kes positif hasil daripada ujian saringan secara bersasar yang dilakukan di Kampung Lingkudau.
Katanya, kampung itu ketika ini dalam PKP Diperketatkan (PKPD) dan dalam pemantauan KKM.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Keningau, Sabah bermula 22 Mac hingga 4 April ini.
“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penamatan tempoh PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah.
Ujar beliau, PKPD di kampung itu akan ditamatkan tengah malam ini berikutan kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah pada tengah malam ini,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi pematuhan PKP semalam, Ismail Sabri berkata, beliau gembira dengan kesedaran orang ramai mematuhi SOP.
Katanya, dalam operasi itu semalam, hanya 100 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
“Daripada jumlah itu, 97 telah dikenakan kompaun dan tiga direman.
“Jumlah tangkapan harian juga menunjukkan trend penurunan, sekali gus menunjukkan kesedaran di kalangan rakyat makin menggalakkan,” katanya. – MalaysiaGazette