KUALA LUMPUR – Agensi pihak berkuasa kerajaan digesa menjelaskan status para pegawai mereka yang bertugas di pelabuhan dan yang didakwa terlibat dengan kartel daging sejuk beku.
Pegawai agensi yang dimaksudkan termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Hamdan Mohd Salleh berkata, sehingga kini tidak ada maklumat sama ada tindakan dikenakan terhadap para pegawai di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang.
“Apa yang saya boleh nyatakan tadi adalah pegawai-pegawai yang bertugas di pelabuhan panas ini sehingga kini yang berada di Tanjung Pelepas, Pasir Gudang dan juga Pelabuhan Klang tidak lagi diumumkan siapa yang telah ditukar seperti kita minta sebelum ini.
“Ia perlu supaya mengelak berlakunya rasuah atau fitnah mengatakan pegawai itu terlibat, inilah salah satu yang kita tampil.
“Saya ingin menegaskan, pihak berkaitan dalam bidang penguatkuasaan, MAQIS, KPDNHEP dan pihak Imigresen menentukan adakah mereka telah menukar pegawai-pegawai yang menguasai pelabuhan-pelabuhan panas ini?
“Sekiranya telah menukarkan kita mahu lihat senarai pegawai-pegawai yang terlibat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu Hamdan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan mengenai kartel daging sejuk beku tidak sah ke dalam negara.
Bagaimanapun beliau diarahkan untuk tidak mendedahkan secara terperinci kerana laporan polisnya hari ini membabitkan nama-nama individu berpengaruh di negara ini.
“Hari ini saya tidak boleh mendedahkan kandungan laporan kepada pihak media kerana ia membabitkan penglibatan kartel daging yang besar.
“Kartel daging yang besar ini melibatkan peringkat antarabangsa dan juga mempunyai pengaruh yang besar termasuk orang-orang yang besar di Malaysia.
“Jadi, kita biarkan pihak polis menjalankan siasatan mereka dan saya berjanji pada 28 Mac nanti saya akan buat pendedahan agensi mana yang terlibat di dalam kartel daging pendedahan ini amat berisiko besar kepada say dan pertubuhan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pada tarikh yang sama Hamdan akan hadir ke sebuah agensi kerajaan pada untuk memberikan maklumat yang diperolehnya.
Hamdan bagaimanapun enggan mendedahkan agensi kerajaan tersebut.
“Untuk minggu depan kita akan pergi ke satu agensi kerajaan kita ingin memaklumkan pegawai terlibat mengapa orang yang bersama dengan mereka daripada awal tidak bersama mereka lagi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, JMM katanya, menyokong komitmen yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini untuk memburu individu yang terlibat dengan kartel daging seju beku import.-MalaysiaGazette