KUALA LUMPUR – Ramai mengharapkan kerajaan dapat melonggarkan SOP termasuk menarik balik larangan rentas negeri berikutan keadaan pandemik Covid-19 sudah semakin pulih.
Hal ini turut disuarakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim yang mahu larangan itu dilonggarkan.
Katanya, memandangkan sekarang ini dua kategori PKP iaitu bersyarat dan pemulihan dilaksanakan di negeri, kenapa kerajaan masih membebankan anggota polis dengan tugasan mengawal rentas negeri di sekatan jalan raya.
“Saya harap Menteri Kanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat membatalkan larangan rentas negeri kerana kes positif Covid-19 pun sudah menurun.
“Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menggunakan kaedah tertentu bagi mengawal atau menghalang mereka yang ada tanda-tanda penyakit yang boleh membahayakan orang lain, dari merentas negeri,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Kerajaan mulai minggu lalu, melonggarkan PKP kepada PKPB dan PKPP di beberapa negeri berikutan rekod penularan Covid-19 menunjukkan trend penurunan.
Namun, kerajaan masih mengekalkan larangan rentas negeri termasuk dari negeri yang dilaksanakan PKPP.
Menurut Zaid yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, walaupun larangan itu dikuatkuasakan, orang ramai dilihat masih mudah mendapatkan kelulusan untuk merentas negeri.
“Justeru, kenapa kerajaan tidak mempermudahkan urusan ini dengan menarik balik larangan itu?” soal beliau. – MalaysiaGazette
Sabar dulu.. tunggu Raya nanti Baru boleh Rentas Negeri..
Ikut ckp katak ni mmg bertambah balik la kes covid. Biar la bagi turun betul2 dulu jangan sibuk sangat nak rentas sana sini.