Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tiada lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyangkal dakwaan berkenaan dan menyifatkannya tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Sebaliknya jelas PERKESO, berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial 1971, setiap pencarum yang mengalami kemalangan semasa bekerja layak memohon faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

“Bagi setiap permohonan yang diterima, PERKESO akan menjalankan siasatan dan membuat pengesahan sebelum kelulusan diberi dan pembayaran dibuat.

“Antara dokumentasi mandatori yang perlu dikemukakan untuk tuntutan kemalangan di bawah Skim Bencana Pekerjaan adalah Borang 34, Laporan Polis, Sijil Cuti Sakit dan Peta Lakar Kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PERKESO juga menegaskan pihaknya tidak pernah menetapkan keperluan lesen memandu sebagai satu syarat atau syarat tambahan untuk semua tuntutan faedah di bawah skim-skim pertubuhan itu.

“Kesalahan tidak mempunyai lesen sewaktu memandu di jalan raya adalah perkara yang perlu diselesaikan di antara individu dengan pihak berkuasa berkaitan,” tambah kenyataan yang sama.

PERKESO berkata demikian menjawab dakwaan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua yang disiarkan sebuah portal berita semalam yang bertajuk, “Tidak Layak Buat Tuntutan PERKESO”.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast