KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengemukakan dua gesaan kepada kerajaan sebagai melindungi hak asasi manusia tanpa mengira kaum, warna kulit, keturunan dan warganegara.
Dalam kenyataan sempena memperingati Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman itu, SUHAKAM mengesa kerajaan meratifikasikan konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICERD).
Suruhanjaya itu juga mengesa kerajaan meningkatkan usaha melaksanakan dasar dan langkah bagi menangani ucapan berunsur kebencian serta menyediakan platform terbuka untuk belia dan pelbagai lapisan masyarakat berbincang menangani isu diskriminasi.
Menurutnya, langkah itu akan menjadi pemangkin kepada usaha lebih bersepadu untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira ras, warna kulit, keturunan, kewarganegaraan atau asal keturunan etnik.
Ini boleh dilakukan dalam bentuk dialog antara budaya dengan tujuan mempromosi sikap tolak ansur dan hormat menghormati bersama dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya.
SUHAKAM menekankan, pentingnya memupuk budaya bertolak ansur, kesaksamaan dan tiada diskriminasi dalam kalangan belia kerana mereka yang akan membina masyarakat adil, aman damai dan lestari pada masa hadapan.
Begitu juga dengan penggunaan teknologi dalam talian, agak meningkat berikutan pandemik Covid-19 dan amalan norma baharu menjadikan media sosial medium komunikasi utama masyarakat.
Malangnya, kata suruhanjaya itu, media sosial telah disalah gunakan oleh sesetengah pihak untuk mengaib dan menyalahkan orang lain dengan serangan lisan, perkauman dan kenyataan benci terhadap etnik dan kewarganegaraan tertentu.
Majoriti daripada pengguna media sosial merupakan golongan belia dan tanpa bimbingan yang sewajarnya, ia akan memberi risiko memburukkan lagi perkauman dan sikap tidak bertolak ansur. – MalaysiaGazette