Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti semula penilaian risiko situasi semasa Covid-19 di negeri terbabit.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu perlu susulan Pulau Pinang kini mencatatkan sebanyak 18 kluster aktif Covid-19 membabitkan sektor pendidikan, perkilangan, penjara dan Depot Tahanan Imigresen.

Katanya, kawasan perindustrian di Mukim 12 dan Mukim 13, Daerah Timur Laut masih kekal zon merah walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu sehingga kini.

“Sektor perkilangan masih mencatatkan jumlah kluster tertinggi ini sekali gus membimbangkan kita sekiranya penularan kes di kilang merebak ke sekolah susulan ibu bapa yang berkerja di kilang-kilang terbabit.

“Kerajaan negeri juga bimbang penularan itu ke  Mukim 13, Mukim 12 dan Mukim 15 di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang juga merupakan kawasan perindustrian penting kepada negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Kon Yeow berharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Safe@Work.

Katanya, penguatkuasaan bukan sahaja dilaksanakan dengan tegas terhadap individu sebaliknya juga kilang-kilang yang ingkar pematuhan SOP terutamanya yang mencatatkan kes berulang.

“Sebagai tambahan, suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan juga disegerakan kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

“Justeru, saya menggesa supaya empat pendekatan dinyatakan dapat dilaksanakan pada kadar segera oleh pihak berkaitan demi keselamatan kesihatan rakyat negeri ini dan kepentingan pembangunan ekonomi Pulau Pinang yang juga antara penyumbang penting Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” ujar Kon Yeow.

Untuk rekod, Pulau Pinang mencatatkan 11 kluster membabitkan sektor perkilangan, Pendidikan (11), Depot tahanan imigresen/penjara (2) dan lain-lain (4). – MalaysiaGazette