SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang berjumlah RM225,700 antara Januari 2018 hingga Januari 2019 di Puchong, Selangor.
Tertuduh, Chua Shiou Meng, 49, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, Shiou Meng didakwa pada Januari 2017 di Bandar Puchong Jaya secara rasuah meminta daripada Chua Kuan Yew bayaran RM10,000 setiap bulan sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat CKY Transport & Trading Sdn Bhd dibatalkan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Shiou Meng didakwa antara 14 Jun 2017 hingga 13 September 2018 di Bandar Puchong Jaya secara rasuah telah menerima daripada Chuan Kuan Yew suapan berjumlah RM140,000 melalui akaun simpanan bank tempatan miliknya sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat CKY Transport & Trading Sdn Bhd dibatalkan.
Manakala pertuduhan ketiga pula, Shiou Meng didakwa antara 9 Februari 2018 hingga 17 Januari 2019 di Bandar Puchong Jaya secara rasuah menerima daripada Mohd Yusri Mat Hussin suapan berjumlah RM75,700 melalui akaun simpanan bank tempatan milik isterinya, Hoi Fui Sane sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat My Concrete Sdn Bhd.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, Shiou Meng didakwa mengikut Sekysen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhil Ab Wahab dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserah kepada mahkmah serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.
Peguam Nik Ahmed Aseaf Nik Othman, Shah Rizal Abdul Manap dan Kelvinder Singh Kuldip Singh meminta jaminan dikurangkan dengan mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh yang mengalami sakit jantung dan serangan panik.
Tertuduh juga mempunyai dua anak masing-masing berusia 14 dan 4 tahun itu sebelum ini pernah membayar jaminan RM10,000 dan tidak pernah mencuba melarikan diri.
Bagaimanapun hakim membenarkan Shiou Meng diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Hakim menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes berkenaan. – MalaysiaGazette