Mohideen Abdul Kader

GEORGE  TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas semua ladang ternakan ayam bagi mengesan pencemaran bakteria salmonella enteritidis(SE).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan itu perlu dibuat susulan Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik bekalan telur yang diimport dari Malaysia setelah mengesan bakteria SE.

“Penarikan kali kedua oleh Singapura itu membabitkan telur dari sebuah ladang di Perak dan ia berlaku beberapa hari selepas bakteria yang sama ditemui dalam telur dari sebuah ladang lain dalam negara.

“Memang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan kementeriannya akan mengenakan kawalan ketat ke atas bekalan telur di peringkat pengeluaran dan pengedarannya namun pengguna di Malaysia juga berhak mendapatkan telur yang tidak tercemar dengan bakteria SE.

“Sehingga kini kita tidak dengar telur di pasaran Malaysia diuji untuk SE atau ditarik balik akibat pencemaran sebaliknya telur ditarik balik dari negara pengimport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu memantau cara ayam dan itik diternak bagi mengelakkan berlakunya pencemaran SE.

“Kita juga mahu  satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat kelemahan sistem pemantauan kita berhubung keselamatan makanan.

“Perkara ini perlu diketengahkan kerana laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia tidak selamat oleh pihak berkuasa negara luar jelas menunjukkan pemantauan keselamatan makanan kita masih belum mencukupi,” ujar Mohideen.

Dalam perkembangan sama, Mohideen menjelaskan industri ayam-itik merupakan segmen ternakan Malaysia yang paling menguntungkan dan mempunyai nilai keluaran tertinggi.

“Industri ini menjadi sumber penting yang membekalkan protein daging kepada rakyat Malaysia. Nilai keseluruhan jualan telur ayam dan daging ayam dari ladang dipercayai melebihi RM10 bilion setahun.

“Melihat situasi semasa pengeluaran ayam-itik di Malaysia, kita boleh bayangkan masalah yang akan dihadapi dalam pengeluaran tersebut jika berlaku gangguan kepada peralatan atau bekalan tenaga,” kata beliau. -MalaysiaGazette