NEW DELHI – India merekodkan 260,000 kes jangkitan Covid-19 minggu lalu – antara kenaikan terburuk sejak pandemik bermula awal tahun lalu.
Negeri Maharashtra mewakili hampir 70% kes negara.
Pakar-pakar mengatakan kegagalan mematuhi protokol keselamatan mendorong peningkatan kes.
India setakat ini mencatatkan lebih daripada 11 juta kes dan 160,000 kematian.
Kes jangkitan di India mulai merosot pada awal 2021 selepas jumlah harian menurun menjadi kurang 20,000 berbanding ketika waktu puncak lebih daripada 90,000 pada bulan September.
Tetapi beberapa minggu kebelakangan ini, kes telah meningkat.
Maharashtra mendahului, beberapa negeri lain – Kerala, Punjab, Karnataka, Gujarat, Tamil Nadu, Haryana dan Madhya Pradesh – juga menyaksikan peningkatan kes.
Di Mumbai, ibu kota Maharashtra, para pegawai mengatakan mereka akan menjalankan ujian pantas secara rawak di kawasan sesak seperti pusat membeli-belah dan stesen kereta api.
Minggu lalu – antara 15 hingga 21 Mac – India melaporkan 100,000 kes, lebih banyak berbanding minggu sebelumnya.
Pakar perawatan kritikal terkemuka, Dr A Fathahudeen, yang telah merawat ribuan pesakit Covid-19, mengatakan kenaikan itu tidak mengejutkan.
Orang ramai keliru apabila menganggap India telah mencapai ambang kekebalan kawanan tetapi itu tidak berlaku,” katanya.
Dr Fathahudeen juga percaya pelaksanaan vaksinasi menyumbang kepada situasi semasa kerana orang “beranggapan kedatangan vaksin membolehkan mereka melakukan amalan biasa”.
”Sedangkan situasinya jauh dari normal, sebenarnya ini sangat membimbangkan. Vaksinasi harus ditingkatkan secara besar-besaran dan protokol ujian dan pengasingan harus diperkukuhkan di seluruh negera,” ujarnya.
Lebih daripada 40 juta orang di India telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus setakat ini, tetapi jumlahnya kurang daripada 4% penduduk negara itu. – MalaysiaGazette