Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagiĀ  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan pihak kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditemui adalah sebanyak 1,307 kluster.

Jelasnya, lapan daripada kluster yang ditemui adalah berkaitan tempat kerja manakala dua lagi adalah kluster komuniti.

“Kluster-kluster tersebut ditemui Kuala Lumpur (2), Johor (3), Labuan (1), Selangor (1), Pahang (1), Negeri Sebilan (1) dan Sarawak (1).

“Kluster-kluster itu adalah Kluster Taman Tunku, Kluster Tapak Bina Jalan Usahawan, Kluster Batu 22, Kluster Jalan Tenteram, Kluster Jalan Kemajuan, Kluster Jalan Helang, Kluster Jalan Gambang, Kluster Industri Permata, Kluster Rajang dan Kluster Jalan Belimbing,” katanya menerusi kenyataan berkenaan situasi semasa Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 15 kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Jalan Bursa, Kluster Selambau, Kluster Jalan Air Hitam, Kluster Jun Heng, Kluster Ladang Tangkarason, Kluster Industri Serkam, Kluster Jalan Seroja, Kluster Jalan Telok Gong, Kluster Jalan Klinik, Kluster Plastik Subang, Kluster Tapak Bina Jalan Stadium, Kluster Tapak Bina Jalan Kota, Kluster Batu Dua Setengah, Kluster Perdana Tiga, dan Kluster Pasar Jalan Putra.

Jumlah kluster yang masih aktif pula katanya adalah sebanyak 411 dan pertambahan kes baharu hari ini melibatkan 64 kluster, katanya.

Tambah beliau lagi, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Usahawan (70 kes), Kluster Tanjung Suria (70 kes) dan Kluster
Penjara Jalan Harapan (55 kes). – MalaysiaGazette