KUALA LUMPUR – Majikan mesti mengambil langkah-langkah proaktif di dalam memastikan tempat kerja di kawasan pembinaan di pantau setiap hari.

Naib Pengerusi  Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Mohan Thangarasu berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 telah menyatakan secara jelas tanggungjawab pihak pemilik industri bukan sahaja ke atas pekerja dan kontraktor, malah kepada orang awam.

“Kita ingin menasihati kepada pihak pemaju, kontraktor utama dan sub-kontraktor agar sentiasa memastikan kerja-kerja pembinaan mereka mematuhi peruntukan perundangan serta prosedur kerja selamat (SOP),” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi ini, tiga pekerja meninggal dunia apabila struktur kren tumbang lalu menghempap kereta Perodua Bezza di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.

Suasana dan Keadaan Mayat Dikeluarkan Dari Runtuhan Kren di SUKE

 

Menurut Mohan, para kontraktor perlu menyemak semula aspek keselamatan di tapak pembinaan agar selamat untuk pekerja dan orang awam.

Tambah beliau, peranan mereka yang terlibat seperti pegawai keselamatan, kesihatan dan penyelia keselamatan tapak pembinaan amat penting bagi memastikan ia selamat.

“Pada masa sama, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan punca kemalangan. Banyak aspek yang perlu kita perlu ambil kira ketika ini.

“Antaranya seperti faktor operator atau pengendali kren, kondisi kren, keadaan semasa atau cuaca semasa pengendalian, prosedur kerja dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, kaedah Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) dan Safety And Health Assessment System In Construction (SHASSIC) untuk setiap aktiviti kerja mampu mengurangkan kemalangan di tapak-tapak pembinaan.

“Kita akan teliti semua ini dan sememangnya NIOSH sangat serius tentang apa yang terjadi,” katanya. – MalaysiaGazette

Saya marah, geram kemalangan berlaku lagi – Fadillah

1 Komen

  1. Peranan mereka yang terlibat seperti pegawai keselamatan, kesihatan dan penyelia keselamatan tapak pembinaan??? Ini statement apa ni?

    Semua yang terlibat dari menteri, CEO, pengerusi syarikat, project managers, managers, consultants, orang2 atas semua perlu mengambil tanggungjawab penuh????

Comments are closed.