Ashari Abu Samah
Supt. Ashari Abu Samah.

KUALA LUMPUR – Pasangan ahli perniagaan yang mendapat kebenaran rentas negeri atas urusan perniagaan sebelum ini didapati memalsukan keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati, pasangan berkenaan rupa-rupanya telah merancang dan membuat persiapan awal untuk menyambut ulangtahun  perkahwinan baru-baru ini apabila telah membuat tempahan hotel lebih awal, iaitu pada bulan Disember 2020.

Terdahulu polis telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan suami isteri yang dipercayai menyalahgunakan kebenaran rentas negeri namun mendapati mereka mendapat kebenaran.

Namun selepas itu mereka dipanggil semula berdasarkan beberapa kenyataan mereka di media sosial.

Kedua-dua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ( Akta 342 ).

Jika disabitkan kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000.

Justeru pihak polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan khususnya untuk urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan dengan menjalankan program, aktiviti peribadi lain serta bercanggah dengan alasan yang diberikan

Tambah Ashari menerusi kenyataan, semua pihak memainkan peranan penting dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar pasangan suami isteri itu sedang bercuti di sebuah pulau dalam negara.

Ahli perniagaan dan isterinya itu berkata telah memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, Johor di Balai Polis Wangsa Maju atas urusan perniagaan pada Isnin lalu.

Bagaimanapun warganet mempertikaikan tujuan sebenar dan alasan yang diberikan oleh pasangan berkenaan untuk merentas negeri.- Malaysiagazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pasangan tular gambar bulan madu tak bersalah – Polis