KUALA LUMPUR – Hasrat UMNO Terengganu untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tindakan yang merugikan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika hasrat itu menjadi keputusan muktamad UMNO, tidak dapat dielakkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru, yang cuba dielak oleh parti Perikatan Nasional (PN).
Namun, katanya, terlalu awal untuk Pas membuat kesimpulan hasrat UMNO negeri itu sebagai kata putus peringkat pusat.
“Saya membaca ulasan berhubung hasrat UMNO Terengganu untuk bertanding di semua kerusi termasuk menentang Pas di negeri itu pada PRU ini.
“Ramai yang secara nyata, melahirkan serangan terhadap UMNO dan ada antaranya meminta Pas melupakan terus hubungan dengan UMNO serta bertembung sekali lagi di seluruh negara dalam PRU akan datang.
“Saya katakan, itu ialah pandangan merugikan, dan tidak adil untuk menghukum UMNO secara keseluruhannya hanya kerana pandangan beberapa pemimpinnya sahaja,” katanya menerusi akaun Facebooknya, semalam.
Menurut Ahmad Fadhli, beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat desakan kepada pucuk pimpinan Pas, kerana menyedari hasrat UMNO Terengganu itu hanya datang daripada pandangan beberapa pemimpin yang cenderung untuk melihat berlaku pertandingan tiga penjuru.
Hakikatnya, kata beliau, ramai pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen dan jentera di peringkat cawangan serta bahagian menyedari realiti betapa ruginya umat Islam dan orang Melayu, jika pertembungan itu tidak dapat dielakkan.
“Sekali lagi saya nyatakan, tidak ada pilihan lain untuk kita melainkan terus merintis jalan kepada perpaduan ummah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menggesa UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain yang majoriti Muslim duduk semeja untuk bentangkan formula penyatuan.
“Sangatlah rugi UMNO yang mewakili kelompok besar pengundi Melayu ini diketepikan begitu sahaja, dan juga rugi Parti Bersatu yang mempunyai kedudukan di puncak kuasa tidak disertakan bersama dalam pakatan ini.
“Asasnya ialah Islam. Adakah kita mahu lihat negara ini diterajui sekali lagi oleh pentadbir 22 bulan yang kita lihat kesan dan pendekatannya?,” soal beliau.
Beliau berkata, jika berlaku pertembungan, yang rugi bukan UMNO, Pas dan Bersatu, tetapi umat Islam di negara ini.
Beliau menyeru agar tiga parti itu berunding dan hentikan api pertembungan.
“Jika pertikaian kerusi menjadi punca, bertolak ansurlah. Ada yang kita dapat dan tentunya ada yang kita perlu lepaskan. Takkanlah kerana kerusi yang terlepas, kita tergamak tiupkan gendang perang.
“Inilah jalan yang sedang dirintis dan diusahakan oleh Pas. Biarlah sejarah politik mencatat sekali lagi, umat Islam dan Melayu bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette