Suruhanjaya Sekuriti
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengarahkan tujuh pengendali, yang terdiri daripada entiti dan individu yang berkaitan supaya menghentikan dan menamatkan semua aktiviti yang berkaitan dengan nasihat pelaburan yang tidak berlesen.
Perintah henti dan hindar tersebut dikeluarkan selepas SC mendapati pengendali ini menjalankan perniagaan memberi nasihat mengenai sekuriti atau derivatif, termasuk memberikan cadangan pelaburan saham-saham setelah pembayaran fi dibuat.
Aktiviti ini biasanya dijalankan dalam kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan
melalui Telegram, Whatsapp dan Facebook.
Tujuh pengendali dan penasihat tidak berlesen itu ialah:
1. Don Trader / DT Academy Sdn Bhd
2. Engineer Saham / Ergonamos Marketing – Mohd Faizal Bin Raihan
3. Felix Consulting
4. Lifestyle Trading Masterclass / LTM Tech – Jeremy Looi Chee Keong
5. One Stock Centre / Stock Advisor / The SuperInvestor / SA Expert Consultancy – Logeswaran A/L Balasubramaniam
6. Serikandi Saham / Thoriq Legacy Sdn Bhd – – Fatin Fatini Ismadi
7. Teknik Saham – Fazlisyam Md Isa
Menurutnya, untuk menyediakan nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia yang memerlukan lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan yang menyediakan nasihat pelaburan tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah CMSA yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.
SC juga telah menyenaraikan semua pengendali di atas dengan butiran mereka yang relevan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, http://www.sc.com.my/investor-alert.
Malah, SC turut memberi amaran kepada pengendali webinar, seminar, media sosial dalam talian, dan bilik sembang aplikasi pesanan yang lain agar berhenti menjalankan aktiviti nasihat pelaburan tanpa lesen.
”SC memantau rapi perkara ini dan, sekiranya wajar, akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sekuriti,” katanya di sini.
Orang ramai juga diminta agar melaporkan kepada SC sekiranya mereka telah dihubungi
oleh individu tidak berlesen yang menawarkan nasihat pelaburan modal di [email protected] atau hubungi talian + 603-6204 8999.
Menurutnya, walaupun SC menjalankan pemantauan internet secara proaktif untuk membendung kegiatan tidak sah dalam pasaran modal haram yang dijalankan melalui media sosial, orang ramai juga diingatkan untuk berwaspada dan berhati-hati terhadap risiko mengambil bahagian dalam mana-mana skim pelaburan, kerana mereka boleh ditipu atau dipergunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran.
Pelabur hendaklah mengesahkan lesen atau pendaftaran individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal, sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan. Ini termasuk pemberian nasihat pelaburan.
Semakan boleh dibuat melalui laman web SC di Daftar Umum Pemegang Lesen, www.sc.com.my/licensed-registered-persons dan Senarai Pengendali Pasaran Diiktiraf yang diiktiraf, www.sc.com.my/rmo – MalaysiaGazette