Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), telah melaksanakan beberapa pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah air di Kelantan terutama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ahli Suruhanjaya SPAN, Shahir Adnan berkata, untuk pelan jangka pendek, SPAN telah membina tangki sedutan separa tertanam di bawah Projek CSR SPAN yang menelan belanja RM47,000 sebagai langkah sementara bagi menyelesaikan isu bekalan air di wad-wad lama HRPZ II.

Pada masa yang sama katanya, SPAN melalui Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) telah memulakan projek pembinaan “dedicated pipe” dari tangki air Merbau terus ke HRPZ II sebagai jaminan bekalan air kepada hospital.

“Projek penukaran paip dalam bandar Kota Bharu juga telah siap dan mula beroperasi. Punca gangguan air dalam tempoh sekarang adalah disebabkan oleh kerja-kerja penyelarasan sistem agihan bagi paip-paip baharu tersebut.

“Justeru, sememangnya akan berlaku gangguan bekalan air di kawasan-kawasan di Kota Bharu, termasuklah di HRPZ II.

“Pada masa yang sama, terdapat kerja-kerja pengalihan dan pemasangan paip yang terpaksa ditangguhkan di sekitar HRPZ II disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan pagar mitigasi banjir di HRPZ II tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Shahir, berdasarkan maklumat terkini, kerja-kerja tersebut akan disiapkan dalam masa terdekat dan gangguan bekalan air akan dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, beliau turut berharap semua pihak bersabar dan yakin dengan usaha-usaha yang sedang dijalankan bagi mengatasi masalah air di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Shahir Adnan

Secara politiknya kata beliau, ia adalah kali pertama dalam tempoh berpuluh-puluh tahun di mana kerajaan negeri Kelantan tidak dianaktirikan oleh kerajaan pusat.

“Disebabkan itu, pertolongan daripada pihak kerajaan pusat, melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), telah memberikan sinar baharu kepada rakyat di Kelantan.

“Menteri Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengumumkan pelan-pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

“Sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan dijangka siap dalam tahun ini.

“Malah, satu daripada sembilan projek berkenaan sudah siap pada 1 Mac lalu yang membabitkan pembinaan Telaga B di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha dengan kos peruntukan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebanyak RM370,300,” ujarnya. – MalaysiaGazette