KUALA LUMPUR – Dua pekerja meninggal dunia apabila jatuh pada ketinggian 120 kaki apabila struktur kren tumbang lalu menghempap kereta Perodua Bezza di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.

Menurut Cawangan Pusat Gerakan Operasi jabatan Bomba dan penyelamat, seramai empat orang terlibat dalam kejadian pukul 8.45 pagi ini.

“Seorang mangsa warganegara Malaysia iaitu pemandu kereta mengalami kecederaan parah kerana kereta beliau telah terhempap besi kren launcher.

“Manakala tiga orang mangsa lagi adalah merupakan pekerja projek pembinaan tersebut dipercayai dua orang mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, seorang lagi masih tersangkut di landasan pembinaan lebuhraya dan kerja-kerja penyelamatan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba.

Katanya, kejurus menerima panggilan kecemasa, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengarahkan JBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah ke tempat kejadian dengan kekuatan jentera 2 buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), 1 buah Aerial Ladder Platform (ALP) dan 1 van EMRS bersama 25 orang anggota. – MalaysiaGazette